Tuesday, 9 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi :    Ketika menempah plague


Dialog :

            Penjual :  Itu logo lu mau logo UPSI lama ka baru?
            Pembeli : Aiyoo tauke, wa mau logo baru la.


Pendapat /  kritikan / komen :

            Kerap kali kita mendengar perbualan seperti di atas sekiranya pembelian itu dijalankan bersama orang bukan Melayu. Dalam dialog di atas, saya telah menggunakan telor yang sama seperti penjual. Pengucapan ini telah menggunakan bahasa pasar iaitu dengan penggunaan kata ganti nama diri ‘wa’ dan ‘lu’. Lazimnya kata ganti nama diri ini digunakan oleh penutur berbangsa Cina. Telor ini boleh digunakan ketika urus niaga pembelian dijalankan untuk memudah dan mengeratkan lagi hubungan antara kedua pembeli dan penjual. Sekiranya kita menggunakan bahasa formal dengan penjual yang berkemungkinan tidak boleh memahami sebetulnya bentuk bahasa formal, sudah tentu urusan perniagaan tersebut sukar dijalankan. Namun, sekiranya penjual tersebut juga orang Melayu, panggilan diri ‘Encik’ lebih menunjukkan kita menghormati penjual tersebut.

Monday, 8 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi :   Ketika pencarian kumpulan oleh ahli Kelab Fasilitator Bitara, UPSI.


Semasa Bengkel Training of Trainers (TOT) oleh Kelab Fasilitator Bitara, UPSI pada Ahad yang lalu, kami daripada pihak Majlis Tertinggi dan Exco Kelab telah diminta untuk membentuk kumpulan bersama ahli kelab yang lain. Semasa pemilihan kumpulan dijalankan, ketua fasilitator telah memberi arahan kepada kami iaitu wakil setiap kumpulan untuk melukis apa-apa sahaja di atas kertas putih A4 untuk melambangkan kumpulan kami dan menayangkannya kepada ahli kelab semasa proses pencarian kumpulan diadakan.

Lihat kepada contoh lukisan yang telah saya lambangkan ketika proses pemilihan kumpulan tersebut.

 Gambaran yang mungkin terlintas dalam fikiran anda adalah mungkin dua kuntum bunga ros yang kelihatan agak layu dan segar di sebelahnya. Namun apa yang pasti sebenarnya lukisan berkenaan telah melambangkan nombor 21 yang bererti kumpulan ke-21.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah, lukisan tersebut tidak mungkin difahami oleh orang yang tidak berada dalam situasi pemilihan kumpulan tersebut. Oleh itu, perlambangan itu sebenarnya berfungsi mengikut situasi yang dialami ketika perlambangan itu digunakan. Dalam situasi di atas, peserta ataupun ahli kelab dapat mengenal pasti gambaran dalam lukisan tersebut kerana mereka berada dalam situasi mencari kumpulan. Proses pencarian kumpulan tersebut berjalan dengan lancar kerana semua ahli dapat mengenal pasti perlambangan yang digunakan oleh ketua kumpulan.

Friday, 5 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi : Papan tanda sekitar Tanjung Malim, Perak.

Klinik di Tanjung Malim, Perak.
Pendapat /  kritikan / komen :


            Kebanyakan papan tanda di sekitar Tanjung Malim, Perak masih mengekalkan ejaan lama. Dalam gambar di atas, dua buah klinik telah menggunakan ejaan ‘kelinik’ sebagai klinik mereka. Penggunaan ejaan Melayu lama masih dikekalkan berikutan masyarakat di Tanjung Malim yang masih terdiri daripada masyarakat lama.


Thursday, 4 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi : Kelas subjek Mandarin


Dialog :


Ms. Tan Lee Na :    Saya suka makan nasi ayam.
                               Wǒ chi ji fan
                               Saya minum air sejuk
                               Wǒ hē lěng shuǐ


Pendapat /  kritikan / komen :


      Dalam dialog di atas, pensyarah telah menggunakan unsur pertukaran kod iaitu menggunakan bahasa Mandarin selepas penggunaan bahasa Melayu untuk memberi kefahaman kepada pelajar yang kebanyakannya berbangsa Melayu. Pertukaran kod antara bahasa Mandarin dengan bahasa yang lain juga boleh digunakan mengikut latar belakang penerima maklumat. Sekiranya pelajar berbangsa Inggeris, penggunaan bahasa Inggeris dengan bahasa Mandarin boleh digunakan.


Wednesday, 3 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi : Di laluan pejalan kaki 


Papan tanda

Pendapat /  kritikan / komen :

Sepanjang melalui satu jalan yang mengalami pengubahsuaian semula, satu papan tanda yang mengalami masalah ejaan dijumpai. Dalam keratan gambar di atas, penggunaan kata ‘di jalankan’ telah dijarakkan oleh pihak terbabit. Ejaan yang betul ialah ‘dijalankan’. Imbuhan kata ‘di-‘ perlu didekatkan dengan kata kerja ‘-jalankan’. Penggunaan kata ini mungkin tidak menjadi kesalahan kepada pihak mereka berbanding masyarakat yang berlatar belakang pendidikan.


Tuesday, 2 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi : Di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Replika Hang Tuah 


Pendapat /  kritikan / komen :

            Berdasarkan gambar di atas, terdapat satu frasa yang melambangkan replika Hang Tuah itu iaitu “Ta’ Melayu hilang di-dunia”. Apa yang ingin ditekan di sini ialah penggunaan ejaan lama iaitu ‘tak’ dieja seperti ta’. Tanda (‘) digunakan bagi membunyikan huruf ‘k’. Kata ‘di-dunia’ juga merupakan ejaan Melayu lama kerana menggunakan tanda (-) sebagai jarak antara dua kata tersebut. Penggunaan kata sebegini digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu lama dahulu sebelum sistem ejaan disesuaikan mengikut peredaran masa.

Monday, 1 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi : Ketika berada di rumah ibu saudara.


Dialog :


Ibu saudara    : Kome tak kemana ke dah alang-alang datang ke mari?

Saya              : Idakla acu. Rasa penat bebenor dah ni.

           

Pendapat /  kritikan / komen :


Dialog di atas menunjukkan penggunaan unsur dialek Perak dalam perbualan harian. Penggunaan kata atau dialek sebegini sesuai digunakan mengikut situasi dan hubungan sosial antara dua penyampai maklumat. Contohnya dalam situasi di atas, saya mempunyai hubungan yang erat antara ibu saudara yang membuatkan kami selesa menggunakan dialek Perak sebagai perbualan harian. Penggunaan dialek ini tidak mungkin dapat digunakan sekiranya berhadapan dengan golongan peringkat atasan.