Tuesday, 16 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


 Seminar Martabatkan Bahasa Kebangsaan Kita sempena Bulan Bahasa Kebangsaan


Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? Sering kali saya mendengar permasalahan ini ketika pembelajaran di sekolah suatu ketika dahulu. Guru Bahasa Melayu saya sendiri telah menggunakan istilah yang berbeza-beza untuk menyebut mata pelajaran yang diajarnya. Pada mulanya, hal ini tidak menjadi masalah bagi kami seorang pelajar sekolah. Namun setelah kini bergelar bakal pendidik bahasa, isu ini sering kali kami debatkan antara rakan jurusan kami.
            
Ketika perasmian penutupan Majlis Sambutan Martabatkan Bahasa Kebangsaan bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan di Dewan SITC UPSI, Dr. Siti Khairiah salah seorang panel bahasa telah menegaskan bahawa sepatutnya permasalah ini tidak harus dijadikan isu besar. Hal ini adalah kerana Bahasa Malaysia sudah semestinya tidak merangkumi bahasa serumpun yang dijadikan bahasa lingua franca pada zaman dahulu. Istilah Bahasa Melayu merupakan istilah yang betul dalam mengambarkan bahasa yang digunakan. Bahasa tersebut digelar Bahasa Melayu dan bukannya Bahasa Malaysia kerana bahasa tersebut bukan sahaja digunakan di Malaysia tetapi digunakan dan diketahui oleh seluruh kawasan Asia. Bahasa Melayu ini dituturkan oleh semua penduduk dan menjadikan sebagai lingua franca dan digunakan sebagai urusan pentadbiran dan rasmi. Walaupun kerajaan sudah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan mewajibkan penggunaannya dalam pentadbiran kerajaan tetapi kerajaan juga telah membuat dasar bahawa bahasa lain juga boleh digunakan dan dipelajari contohnya Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan lain-lain.


Monday, 15 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik

Situasi : Ketika membuka laman web Facebook

          Pada hari ini, apa yang ingin saya kongsikan adalah mengenai budaya penulisan golongan remaja dalam lingkungan 13-17 tahun iaitu pelajar sekolah menengah. Ketika saya sedang asyik melayari laman utama facebook saya, keluar pelbagai status beberapa orang remaja daripada  rakan-rakan adik saya. Apa yang menjadi persoalannya ialah gaya bahasa yang digunakan oleh mereka sudah tentu tidak menepati hukum tatabahasa yang betul. Pada pendapat saya, hal sedemikian masih boleh dimaafkan lagi memandangkan sukar bagi kita sendiri untuk bertutur mahupun menulis dalam bahasa baku dalam situasi yang tidak formal.
 
          Namun, ketika saya membacakan status-status mereka terbit perasaan marah dan sakit hati apabila mengalami masalah dalam memahami apa yang cuba disampaikan oleh mereka. Hal ini adalah kerana penggunaan ejaan dan saiz tulisan yang berbeza-beza telah menyukarkan para pembaca untuk mendalaminya. Antara contoh yang dapat saya jelaskan di sini ialah kesalahan dalam penggunaan ejaan mereka seperti :



           Dalam gambar di atas, mereka menggunakan singkatan perkataan sehingga mengubah ejaan seperti kata aku menjadi 'aq' dan mengubah ejaan seperti kata esok menjadi 'besowk'. Kebanyakan antara mereka telah menggunakan kata yang salah dalam penulisan. Contoh di atas saya petik daripada status salah seorang rakan facebook golongan pelajar sekolah menengah ini yang saya rasakan sangat merosakkan bahasa Melayu kita. 
           Terdapat lagi beberapa gaya penulisan mereka seperti mencampurkan saiz tulisan yang berbeza-beza. Sebagai contohnya,



Sebagai kesimpulannya, hal sebegini sememangnya menganggu ketika pembaca lain mahu membaca atau menafsir apa yang disampaikan oleh mereka. Saya berharap agar anda yang membaca entry ini tidak akan terjerumus dalam melakukan kesalahan yang teruk dalam penulisan  walaupun sekadar status di facebook. Hal ini adalah kerana  bahasa mencerminkan wajah kita. Kita sepatutnya menjadi contoh kepada adik-adik dengan menggunakan bahasa yang betul dalam perbualan harian. Sekian. :)

Friday, 12 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi :     Penggunaan istilah di Jakarta, Indonesia.


Pada kali ini, saya akan membicarakan mengenai penggunaan istilah yang digunakan oleh masyarakat Jakarta di Indonesia. Maklumat ini saya dapati daripada penceritaan seorang rakan saya yang mempunyai abang bekerja di sana. Sekadar untuk makluman kepada anda yang membaca blog ini, kuih apam balik di Malaysia digelar murtabak manis di sana. Manakala murtabak yang biasa dimakan oleh kita digelar sebagai murtabak pedas di Indonesia. Bagi masyarakat Malaysia atau luar dari Indonesia mungkin tidak memahami istilah makanan ini melainkan mereka digambarkan dengan makanan berkenaan. 





Pendapat /  kritikan / komen :


        Pada pendapat saya, sekiranya kita ingin berhijrah ke negara asing, sebaiknya kita mempelajari atau mendalami istilah ataupun bahasa mereka terlebih dahulu untuk memudahkan proses komunikasi kita di negara asing. 


Thursday, 11 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi :     Di Perpustakaan Tunku Bainun, UPSI

           Ketika sedang membuat tugasan di Perpustakaan Tunku Bainun, aku telah didatangi  kawan-kawanku yang menegur akan sebab aku berada di situ. Sudah lumrah masyarakat Melayu bahawa mereka akan bertanyakan sesuatu yang sudah terlihat oleh mata mereka. Cuba kita lihat dalam masyarakat Cina, mereka tidak akan bertanyakan seperti hal berkenaan. Sebaliknya mereka akan bertanyakan sekiranya kita sudah makan atau belum. Namun itu tidak menjadi persoalannya. Apa yang ingin saya kongsikan pada ‘entry’ kali ini ialah gaya bahasa yang digunakan oleh kawan-kawan saya ketika mereka menegur saya. Pertanyaan yang diajukan kepada saya ialah “Buat nape Nad?”. Sekiranya anda tidak berasal dari negeri Pantai Timur, anda mungkin menyatakan persoalan mereka ini adalah salah. Namun, kata tanya ‘kenapa’ yang sudah dieja ‘nape’ mengikut sebutan mereka yang telah digunakan sebenarnya adalah betul dalam penggunaan bahasa masyarakat mereka. Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah, sukar untuk masyarakat yang tidak terdedah dengan pelbagai dialek untuk memahami sesuatu perkara dalam dialek tertentu. Saya memahami apa yang disampaikan oleh kawan saya mungkin kerana saya sudah terdedah dengan bahasa percakapan mereka sejak dari Semester 1.

Pendapat /  kritikan / komen :

                Penggunaan kata atau ayat yang menggunakan dialek negeri masing-masing mungkin menyukarkan sesuatu komunikasi itu berjalan dengan lancar. Dialek harus digunakan sesuai dengan penyampai dan penerima maklumat tersebut agar maklumat dapat disampaikan tanpa sebarang masalah.

Wednesday, 10 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi : Istilah papan tanda.


           Melihat kepada petikan di atas, sudah jelas terpampang kesalahan penggunaan kata dalam papan tanda ‘Taj Kelinik dan Surgeri’. Kata ‘kelinik’ telah dijelaskan dalam ‘entry’ yang sebelumnya. Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah kata ‘surgeri’ yang menggunakan unsur kata bahasa Inggeris. Bahasa Melayu telah mengalami unsur pinjaman bahasa asing berikutan berlakunya aktiviti perdagangan, penyebaran agama dan ilmu, pendidikan dan hubungan diplomatik, penghijrahan dan penjajahan. Sumber peminjaman oleh bahasa Melayu ialah dari Sanskrit, Arab, Parsi, Jwa, Tamil, Cina, Portugis, Belanda dan Inggeris. Dalam gambar di atas, kata ‘surgeri’ terhasil dari pinjaman kata bahasa Inggeris iaitu ‘surgery’. Antara contoh kata lain yang menerima unsur pinjaman sebegini ialah bajet, kelas, standard, bufet, baucar, efisien, faks, insurans dan sebagainya.

Pendapat /  kritikan / komen :

             Fenomena seperti di atas merupakan suatu perkara yang lazimnya berlaku. Unsur-unsur peminjaman bahasa sebegini sudah mula diterima masyarakat menyebabkan papan tanda seperti di atas dapat dinaikkan dan akhirnya telah sebati dalam penggunaan seharian masyarakat.


Tuesday, 9 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi :    Ketika menempah plague


Dialog :

            Penjual :  Itu logo lu mau logo UPSI lama ka baru?
            Pembeli : Aiyoo tauke, wa mau logo baru la.


Pendapat /  kritikan / komen :

            Kerap kali kita mendengar perbualan seperti di atas sekiranya pembelian itu dijalankan bersama orang bukan Melayu. Dalam dialog di atas, saya telah menggunakan telor yang sama seperti penjual. Pengucapan ini telah menggunakan bahasa pasar iaitu dengan penggunaan kata ganti nama diri ‘wa’ dan ‘lu’. Lazimnya kata ganti nama diri ini digunakan oleh penutur berbangsa Cina. Telor ini boleh digunakan ketika urus niaga pembelian dijalankan untuk memudah dan mengeratkan lagi hubungan antara kedua pembeli dan penjual. Sekiranya kita menggunakan bahasa formal dengan penjual yang berkemungkinan tidak boleh memahami sebetulnya bentuk bahasa formal, sudah tentu urusan perniagaan tersebut sukar dijalankan. Namun, sekiranya penjual tersebut juga orang Melayu, panggilan diri ‘Encik’ lebih menunjukkan kita menghormati penjual tersebut.

Monday, 8 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi :   Ketika pencarian kumpulan oleh ahli Kelab Fasilitator Bitara, UPSI.


Semasa Bengkel Training of Trainers (TOT) oleh Kelab Fasilitator Bitara, UPSI pada Ahad yang lalu, kami daripada pihak Majlis Tertinggi dan Exco Kelab telah diminta untuk membentuk kumpulan bersama ahli kelab yang lain. Semasa pemilihan kumpulan dijalankan, ketua fasilitator telah memberi arahan kepada kami iaitu wakil setiap kumpulan untuk melukis apa-apa sahaja di atas kertas putih A4 untuk melambangkan kumpulan kami dan menayangkannya kepada ahli kelab semasa proses pencarian kumpulan diadakan.

Lihat kepada contoh lukisan yang telah saya lambangkan ketika proses pemilihan kumpulan tersebut.

 Gambaran yang mungkin terlintas dalam fikiran anda adalah mungkin dua kuntum bunga ros yang kelihatan agak layu dan segar di sebelahnya. Namun apa yang pasti sebenarnya lukisan berkenaan telah melambangkan nombor 21 yang bererti kumpulan ke-21.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah, lukisan tersebut tidak mungkin difahami oleh orang yang tidak berada dalam situasi pemilihan kumpulan tersebut. Oleh itu, perlambangan itu sebenarnya berfungsi mengikut situasi yang dialami ketika perlambangan itu digunakan. Dalam situasi di atas, peserta ataupun ahli kelab dapat mengenal pasti gambaran dalam lukisan tersebut kerana mereka berada dalam situasi mencari kumpulan. Proses pencarian kumpulan tersebut berjalan dengan lancar kerana semua ahli dapat mengenal pasti perlambangan yang digunakan oleh ketua kumpulan.