Thursday, 25 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik

'Aku'

Masih saya ingat akan perbualan seharian kami pada zaman sekolah dulu. Kata panggilan ataupun kata ganti nama diri pertama yang saya gunakan ialah 'kami'. Walaupun daripada sudut semantiknya bermaksud lebih dari seorang, namun kata 'kami' ini sebenarnya bersifat agak lembut didengari selain daripada perkataan 'aku'. Sehingga tingkatan tiga saya masih menggunakan perkataan 'kami'. Namun berbeza dengan remaja waktu kini, perkataan 'aku' digunakan dengan bersahaja. Pernah saya dengar pelajar tingkatan tiga berbicara bersama pelajar tingkatan lima dengan menggunakan perkataan 'aku'. Mungkin bagi mereka itu tidak menjadi masalah, tetapi orang tua atau yang mendengarnya mungkin menganggap itu tidak enak.

Saya juga dimaklumkan bahawa orang jawa sekitar Johor menggunakan kata 'aku' ini untuk bercakap sesama orang tua mereka. Bagi mereka itu adalah perkara biasa dan tidak dianggap sebagai satu yang tidak baik. Tetapi, hal ini berbeza dengan masyarakat yang berada di Perak misalnya, apabila seseorang anak itu menggunakan kata 'aku' untuk bercakap dengan orang tuanya, maka anak itu telah dianggap berkurang ajar kepada orang tuanya.

Saya juga berpendapat kata 'aku' ini hanya sesuai digunakan apabila bercakap dengan rakan yang rapat sahaja. Tetapi, mungkin kata 'aku' ini telah dianggap sebagai satu kata wajib digunakan bagi sesetengah masyarakat.

Wednesday, 24 October 2012

Diri Harian Sosiolinguistik

Dialek Kedah

Pada kali ini saya ingin berkongsikan sedikit istilah yang digunakan oleh orang utara dalam perbualan seharian. Kata penguat dalam dialek Kedah juga boleh mengambarkan sifat sesuatu seperti nala besaq (besar), sejuk gedi, masin haun, peas meliau, piau, geli geleman. Istilah di atas dapat diterangkan dengan lebih jelas berdasarkan maksud yang diberikan seperti di bawah ini :

 * nala besaq (besar) - mengambarkan sesuatu yang sangat besar
 * sejuk gedi - sesuatu yang sangat sejuk
 * masin haun -benda yang sangat masin
 * pedas meliau - rasa yang sangat pedas
 * piau - paling, sangat atau cukup mengujakan
 * geli-geleman - sesuatu yang sangat menggelikan 

Pelbagai lagi dialek Kedah yang telah saya dengari memandangkan saya membesar bersama kawan-kawan yang berasal dari Kedah. Di bawah ini saya akan sertakan istilah di atas berserta ayat dengan menggunakan ayat dalam dialek Kedah. Penggunaan istilah ini digunakan dalam perbualan mereka seharian.

* "Pasaraya tu nala besaq!"
* "Pi angkat adik tu, sejuk gedi dah aku tengok."
* "Masin haun hang masak gulai ni."
* "Sambal mak hang ni pedas meliau."
* "Hang buat kopi ni memang piau laa."
* Nasya berasa geli geleman melihat ulat sampah.

Pada pendapat saya, sukar untuk memahami dialek ini sekiranya tidak berada dalam situasi perbualan itu. Walaupun saya sendiri membesar dengan mendengar dialek utara ini, namun adakalanya saya sukar untuk menginterpretasi apa yang disampaikan oleh rakan-rakan sekiranya mereka mengucapkan dialek utara tersebut dengan lebih dalam. 

*Penulis berdarah Perak :)

Tuesday, 23 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Jati Diri dan Patriotisme Teras Peradaban

            Saya agak ralat ketika membacakan tulisan pada ‘banner’ yang ditayangkan ketika Program Setiakawan Penulis Satu Malaysia tempoh hari. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana program ini boleh dikatakan amat besar kerana mengumpulkan pelbagai penulis, pelbagai kaum dan pelbagai negara. Di sini saya akan sertakan gambar yang telah saya ambil ketika program itu berlangsung.



            Dalam gambar di atas, kesalahan ejaan kata ‘patriotime’ yang sepatutnya dieja menjadi ‘patriostisme’. Saya berharap pihak yang terbabit memandang berat akan hal sebegini kerana walaupun hanya kesalahan kecil tapi hal ini mungkin dianggap sebelah pihak bahawa kita tidak mengambil berat akan kesalahan tatabahasa yang dilakukan. Akhir kata,
“SASTERA MEMUPUK INTELEK DAN KEMULIAAN BUDI MANUSIA”

Monday, 22 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Forum Penulis : Sastera Kebangsaan Satu Malaysia

            Saya ingin berkongsi satu kisah mengenai beberapa istilah yang digunakan beberapa orang panel ketika Program Setiakawan Penulis Satu Malaysia yang bertempat di Hotel Midah, Kuala Lumpur. Ketika berada di sana, kami didedahkan dengan pelbagai kegiatan sastera di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia serta penerbitan karya sastera oleh orang bukan Melayu. Apa yang menarik perhatian saya pada ketika itu ialah hujahan dari panel ke-3 dan ke-4.
Dr. Chew Peng Fong merupakan wakil daripada bangsa Cina dari PERSPEKTIF membahaskan mengenai perlunya penterjemahan kamus Bahasa Melayu dan Cina untuk menaikkan semangat dalam kalangan penulis berbangsa Cina. Beliau juga memberitahu bahawa sejak tahun 1987 lagi, terdapat pameran sumbangan masyarakat Cina yang meliputi 2000 naskhah Melayu oleh penulis Cina sendiri. Saya tertarik dengan kalimah terakhir yang diberikan iaitu selepas beliau membuat rumusan penyelesaian masalah yang dibahaskan beliau mengucapkan Insya-Allah pada akhir katanya. Dapat saya simpulkan di sini, konsep satu Malaysia yang ingin ditonjolkan oleh kerajaan dapat dilihat kerana orang yang berbangsa Cina juga suka menuturkan apa yang dipertuturkan oleh orang beragama Islam.
Dari kiri : Prof Madya Dr. Krisnan Maniam (Persatuan Penulis Tamil)
 dan Dr. Chew Peng Fong (PERSPEKTIF)

Beralih kepada panel ke-4 pula iaitu Prof Madya Dr. Krisnan Maniam yang juga wakil bangsa India dari Persatuan Penulis Tamil. Beliau turut menggunakan istilah iaitu menyatakan segala usaha atau cadangan yang diberikan untuk menaik taraf dunia sastera selalunya tidak sampai kepada telinga kerajaan. Unsur personafikasi digunakan di sini mungin untuk menarik para pendengar yang berada di situ. Pada akhir pengucapan, beliau memberi cadangan bahawa GAPENA atau Dewan Bahasa wajar menubuhkan satu jawatankuasa untuk penulis muda daripada pelbagai kaum untuk memberi peluang kepada penulis bukan Melayu terlibat dalam penulisan sastera.

Friday, 19 October 2012

Diari harian Sosiolinguistik

Sepintas Lalu



Apa yang anda bacakan di atas sebenarnya ialah nama sebuah pusat jagaan  iaitu Pusat Penjagaan Warga Emas Ikhtiar Selasa Villa. Namun, sekiranya anda pernah menjadi tetamu kepada pusat jagaan ini,  anda mungkin dapat mengenal pasti terdapat kesalahan ejaan pada nama pusat jagaan tersebut. Nama pusat tersebut sebenarnya ialah Pusat Penjagaan Warga Emas Ikhtiar Selesa Villa. Walaubagaimanapun, orang yang melalui kawasan ini mungkin tidak akan dapat mengecam kesalahan tersebut dan menganggap itu adalah nama sebenar pusat jagaan tersebut. Saya telah pergi ke pusat jagaan ini dan mendapati kesalahan ejaan ini tidak dititikberatkan oleh pengurus pusat jagaan tersebut. 

Thursday, 18 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


 Amalan Berbahasa di Kaunter.

            Budi Bahasa Budaya Kita. Itulah sepatutnya saya lafazkan ketika berurusan dengan salah seorang pengawal keselamatan yang bertugas di pintu pagar Kolej Ungku Omar. Saya ingin melahirkan rasa kecewa saya terhadap salah seorang pengawal keselamatan yang bertugas pada hari tersebut yang saya rasakan agak tidak berbudi bahasa ketika menjalankan tugas.

Pada hari kejadian, saya telah pulang ke kolej dengan beberapa orang rakan pada jam 12.00 malam kerana menjalani sesi latihan drama. Ketika di pintu masuk, kami telah ditahan kerana pengawal tersebut mengatakan kami telah lewat dan sepatutnya kami perlu sertakan bersama surat kebenaran dari felo blok untuk pulang lewat. Saya mengaku itu mungkin kesalahan kami kerana tidak peka terhadap waktu sewaktu berada di kampus. Namun, apa yang menyedihkan kami, bahasa yang digunakan oleh pengawal tersebut seolah-olah kami ini berbahasa kurang sopan. Kami telah memanggil pengawal tersebut dengan panggilan Encik yang kami rasakan sudah cukup hormat selain daripada panggilan pak cik. Tetapi, pengawal tersebut telah membahasakan dirinya dengan ‘aku’ dan ‘korang’ selain menengking kami. Sebelum ini, para pelajar telah didedahkan dengan amalan bahasa di kaunter kerana ramai kalangan pelajar tidak menggunakan kata sapaan yang betul ketika berurusan. Hal ini mungkin disebabkan ada laporan dari pekerja UPSI sendiri. Namun, adakah pengawal keselamatan itu sangat berbudi ketika menjalankan tugasnya? Patutkah kami dilayan sebegitu rupa sedangkan kami bertutur dengan agak sopan. Saya berpendapat pekerja am juga sepatutnya diberikan taklimat mengenai amalan di kaunter supaya tidak berlakunya persengketaan sebegini. Tidak sepatutnya pengawal keselamatan tersebut melayan kami sebegitu teruk walaupun kami berada di pihak yang salah. SEKIAN.

Wednesday, 17 October 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


 Di dalam bas ke Kolej Ungku Omar.

            Sesuatu maklumat itu mungkin tidak akan diterima sekiranya terdapat gangguan terhadap penyampai. Komunikasi itu bukan sahaja dijalankan menerusi ujaran (verbal communication) tetapi juga menerusi non-verbal. Inilah yang akan saya jelaskan sedikit mengenai komunikasi menggunakan bahasa isyarat yang bukan disampaikan oleh orang kurang upaya tetapi manusia normal.
            Semasa saya menaiki bas untuk pulang ke kolej, saya telah mendapati pemandu bas telah menggunakan isyarat sebagai menggantikan ujaran dalam menyampaikan maklumat atau persoalan. Contoh yang dapat saya lihat ialah pemandu bas menggunakan anggukan kepala kepada pelajar untuk menjawab persoalan mereka yang bertanyakan tempat perhentian bas untuk dituju dan juga mengangkat kepala kepada pelajar sebagai isyarat bertanyakan ke mana arah tuju mereka. Sepanjang perjalanan menuju ke kolej juga, saya melihat cara antara pemandu bas berkomunikasi. Apabila berselisih, mereka akan salaing menyalakan lampu sebagai isyarat untuk menegur akan kehadiran mereka dan kadangkala membunyikan hon. Saya berpendapat isyarat ini tidak mungkin boleh digunakan antara pelajar dengan pensyarat kerana isyarat ini mungkin dianggap agak kurang sopan tetapi berbeza dalam kalangan pemandu bas mereka sudah sebati dengan cara berkomunikasi sebegitu. Kesimpulannya, tidak semua cara berkomunikasi sesuai dengan golongan masyarakat tetapi apabila komunikasi tersebut boleh digunakan sekiranya mereka berada dalam situasi tersebut.