Friday, 28 September 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi : Perjumpaan bersama ahli Kelab Fasilitator Bitara, UPSI.


Dialog :


Presiden : Saya nak pada hari Ahad nanti, korang mula berkumpul kat kolej masing-masing pada pukul 6.45 pagi sebab bas akan bertolak pada jam  7.00 pagi.

           

Pendapat /  kritikan / komen :


Penggunaan bahasa rojak digunakan ketika perjumpaan bersama ahli Kelab Fasilitator Bitara UPSI sempena dengan program ‘Masih Ada yang Sayang’ (MAYANG’12). Kata yang dicondongkan seperti dialog di atas merupakan contoh bahasa rojak golongan remaja. Dalam situasi di atas, perjumpaan yang tidak formal telah menyebabkan perbincangan mahupun arahan diberikanoleh tuan presiden dalam bahasa rojak yang memudahkan penerimaan maklumat golongan remaja seperti pelajar. Penggunaan bahasa rojak ini tidak sesuai bahkan tidak manis digunakan ketika majlis formal.


Thursday, 27 September 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi : Di Festival Buku, Dewan SITC.


Hujahan :


Mengambil petikan daripada buku “Wanita Bidadari Syurga” karya Azizah Al –Yahya, dalam halaman 48, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

 “Wanita itu tiang negara, jika baik kaum wanita sesebuah negara itu, maka baiklah negara itu.”

“Tangan yang menghayun buai itu boleh menggoncang dunia.”

           

Pendapat /  kritikan / komen :


Dalam sabda Rasulullah s.a.w di atas, ‘wanita’ telah dilambangkan sebagai satu watak utama dalam merancang kehidupan iaitu sebagai tiang dalam membina sesebuah negara itu. Rasulullah telah menegaskan bahawa dalam masyarakat perlunya wanita yang terdidik bagi mencapai kesejahteraan negara. Wanita Muslim yang berjaya bukan sahaja dalam kemajuan lahiriah tetapi pendekatan batiniah kepada Islam menjadi tenaga penggerak ke arah kemajuan sesebuah negara. Sabda Rasulullah ini digunakan dalam masyarakat Islam sehingga kini. Unsur hiperbola juga digunakan dalam frasa yang kedua yang menggunakan kiasan yang menyatakan sesuatu cara yang sangat berlebihan daripada maksud sebenarnya. Tidak mungkin sebatang tangan boleh menyebabkan dunia bergoncang.


Wednesday, 26 September 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi : Ketika kelas subjek Keterampilan Penulis


Dialog :

Pensyarah : I mahu you all hantarkan tugasan autobiografi pada hari ini.
                  Kumpulkan pada ketua.


Pendapat /  kritikan / komen :

Pensyarah telah menggunakan percampuran kod bahasa Inggeris bersama bahasa Melayu dengan menggunakan kata ganti nama diri pertama sebagai I dan kata ganti diri kedua sebagai you all. Penggunaan bahasa seperti di atas dirasakan kurang sesuai dalam kalangan pelajar yang mengambil jurusan bahasa Melayu sebagai subjek major mahupun minor.



Tuesday, 25 September 2012

Diari Harian Sosiolinguistik


Situasi : Ketika mengundi sempena Pilihan Raya Kampus UPSI.


Dialog :

Pelajar perempuan 1  : Eh Faz, kau tak pergi pangkah lagi ke?

Pelajar perempuan 2  : Tengoklah lepas kelas nanti. Full hari ini.

           

Pendapat /  kritikan / komen :


Pelajar perempuan 1 telah menggunakan kata ‘pangkah’ sebagai perlambangan untuk membawa maksud mengundi. Penggunaan kata ini sesuai sekiranya digunakan ketika berada di tempat mengundi atau semasa musim pilihan raya. Pelajar perempuan 2 pula telah memberi jawapan dengan membawa unsur pencampuran kod iaitu menggunakan kata dari pada bahasa Ingeeris iaitu ‘full’ bagi memberi gambaran bahawa jadual kelasnya pada hari ini sangat padat sehinggakan tidak mempunyai kesempatan untuk pergi mengundi.

Monday, 24 September 2012

Diari Harian Sosiolinguistik



Situasi : Ketika menunggu bas di Kolej Ungku Omar.


Dialog :

Pelajar lelaki          : Eh, kenapa kau nampak kelam-kabut sangat hari ini Asma?

Pelajar perempuan : Hari ini aku bangun lambat siot! Itu yang macam apa dah ni.



Pendapat /  kritikan / komen :

        Penggunaan kata ‘siot’ oleh pelajar perempuan tersebut mungkin membawa maksud ‘sangat’ atau ‘terlalu’. Dalam konteks ayat di atas, mungkin Asma telah membuat tafsiran sendiri dengan mengambarkan bahawa dia terlajak waktu sehingga terlewat bangun ke kelas dan menyebabkan dia kelihatan agak tidak terurus.
Hasil daripada pemerhatian yang telah dijalankan, penggunaan kata ‘siot’ telah kerap digunakan oleh golongan remaja seperti dalam lingungan umur 18-23 tahun. Kata ‘siot’ ini juga dikatakan kurang enak untuk didengari.